Sunday, July 3, 2011

Aqidah : Muktazilah

Kemunculan Muktazilah adalah berasaskan kepada perselisihan yang berlaku di antara Washil bin Atho' dengan gurunya Hasan al-Basri mengenai hukum orang yang melakukan dosa besar. Golongan Muktazilah dinisbahkan kepadanya.
Kisah perselisihan itu berlaku semasa majlis pengajian Hasan al-Basri. Di mana seorang lelaki telah masuk dan berkata kepada Hasan al-Basri: "Wahai imam agama, telah lahir pada zaman kita ini segolongan orang yang mengkafirkan pembuat dosa besar, mereka adalah Khawarij. Segolongan lagi ialah mereka yang mengmbalikan hukum ke atasnya. Mereka berkata: "Tidak memberi mudarat kemaksiatan jika mempunyai iman, sebagaimana tidak memberi manfaat ketaatan jika dalam kekafiran. Mereka adalah golongan Murji'ah."
Hasan al-Basri berfikir. Sebelum beliau menjawab, Washi bin Atho' berkata: "Aku tidak berpendapat bahawa pembuat dosa besar itu sebagai mukmin secara mutlak dan tidak kafir secara mutlak. Malahan dia akan berada di suatu tempat di antara dua tempat."
Kemudian Washil meminggirkan diri ke suatu sudut di dalam masjid berkenaan, dan mendirikan mazhabnya sendiri. Lalu Hasan al-Basri berkata: "Washil telah mengasingkan (I'tizal) diri dari kami." Ini menjadi sebab mereka diberi nama dengan Mu'tazilah.
Washil telah dilahirkan di Madinah pada tahun 80 Hijrah, dan meninggal dunia pada tahun 131 Hijrah di Basrah.
Mazhabnya telah tersebar di Iraq, dan sebahagian dari khalifah Bani Abbasiyah telah mengikut fahaman ini.
Pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah, mereka mempunyai dua buah madrasah. Yang pertama di Basrah dan yang kedua di Baghdad. Telah berlaku perdebatan dan perselisihan di antara dua madrasah ini mengenai banyak masalah.
Cara pembahasan mereka
Mereka menggunakan akal fikiran untuk setiap perkara dan cuba memperolehinya melalui jalan ini. Mereka mempunyai satu kelebihan yang hebat di dalam mempertahankan Islam, kerana mereka telah bangkit menentang orang-orang dari penganut akidah yang sesat dan dari agama-agama lain dengan hujah dan bukti.
Namun, Muktazilah telah bersikap ekstrim di dalam sebahagian pendapatnya dan pencelaan mereka terhadap ahli fikah dan ahli hadis.Begitu juga sokongan khalifah-khalifah Abbasiyah terhadap mereka, seperti al-Makmun yang secara kekerasan memaksa rakyat agar menerima mazhab mereka serta menyiksa para ahli fikah dan ahli hadis. Dengan ini rakyat telah menyifatkan mereka sebagai telah terpesong dari ajaran agama. Sebagaimana yang telah diketahui bahawa akal itu terpengaruh dengan suasana dan hawa. Syarak adalah lampu yang menyinari jalan di hadapan akal.

No comments:

Post a Comment