Wednesday, November 11, 2009

ELEMEN-ELEMEN KONTRAK SOSIAL DALAM PERLEMBAGAAN

Di mana-mana negara sekalipun, perlembagaan lahir hasil daripada perkembangan sejarah. Perlembagaan juga merakamkan sifat-sifat asal negara itu merangkumi nilai tradisi, politik dan kebudayaan.Elemen-elemen ini yang menjadikan bangsa Melayu selaku bangsa asal yang mendiami Tanah Melayu memasukkannya ke dalam Perlembagaan bagi mengekalkan keistimewaan mereka. Di antaranya ialah:

1. PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN KEDUDUKAN RAJA MELAYU
Disamping itu, Perkara 71 Perlembagaan Persekutun membuat peruntukan bagi menjamin hak seseorang raja untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan bagi seseorang raja dalam negeri itu. Institusi kesultanan dilindungi oleh Perlembagaan dengan cara bahawa tiada pindaan[20] boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Malah tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

2. HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU
Perkara 153 (I): Perezaban quota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu.
(1) Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.
(2) Walau apapun yang terkandung dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini dan di bawah undang-undang Persekutuan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang perlu untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan juga untuk menentukan perezapan bagi orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam (lain daripada perkhidmatan awam sesuatu negeri) dan mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan yang seumpamanya atau lain-lain kemudahan khas yang diberi atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai permit atau lesen bagi menjalankan apa-apa trade atau perniagaan, dan perezapan permit dan lesen itu adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini.
Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang yang sedia ada yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu.[24] Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f) juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu.


3. KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI
Orang Melayu sebagaimana yang telah dijelaskan oleh penulis sebelum ini ditakrifkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai seorang yang menganut agama Islam, yang lazim bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
Maka dengan ini, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa “Islam adalah agama bagi persekutuan” membayangkan apa yang telah dipertahankan oleh orang Melayu sepanjang masa, malah sebelum kuasa British masuk ke Malaysia lagi. Semasa penjajahan British, mereka membawa masuk agama Kristian sementara kaum pendatang membawa masuk agama lain seperti Hindu dan Buddha. Oleh yang demikian, menjadikan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan mestilah juga memberikan pertimbangan kepada kepercayaan kaum lain.
Oleh itu, Perkara 3 memperuntukan satu fasal imbangan yang menyebut “tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan“. Malah setiap kumpulan agama juga mempunyai hak untuk:
a) Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri
b) Menubuh dan menyelenggara institusi-institusi bagi maksud-maksud agama atau khairat, dan
c) Memperoleh dan memiliki harta benda serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang

4. BAHASA MELAYU
Bahasa sentiasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa pertuturannya.
Isu bahasa merupakan salah satu perkara yang dibincangkan semasa perundingan perlembagaan dan proses pembentukannya. Namun isu ini dapat diselesaikan dengan permuafakatan antara kaum. Tan Siew Sin telah menerangkan bagaimana isu bahasa telah dapat diselesaikan:
“Masyarakat bukan Melayu menaruh harapan besar kebudayaan dan bahasa mereka. Biar saya nyatakan sebagai contoh, perlembaagaan Reid sebagaimana rangka awalnya tidak menyebut apa-apa tentang mengekal dan menegmbangkan bahasa Cina dan Tamil atau bahasa-bahasa lain.Apabila dicadangkan kepada pemimpin Melayu bahawa perlembagaan sepatutnya dengan eksplisit menyatakan pengekalan dan perkembangan kedua-dua bahasa Cina dan Tamil hendaklah digalak dan dipelihara, mereka bersetuju”
Maka bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dengan tidak mengenepikan bahasa lain. Ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaaan Persekutuan yang menyebut:
(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:
Dengan syarat bahawa-
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.
Hipotesis utama disebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum ke arah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa pengantar negara ini sejak dahulu lagi.

No comments:

Post a Comment