Golongan Ahlus Sunnah terdiri dari dua kelompok, iaitu para pengikut Abul Hasan al-Asya'ari dan al-Maturidiyah, iaitu para pengikut Abu Mansur al-Maturidi.
Golongan ini muncul ketika khalifah al-Mutawakil mengangkat/tidak melakukan ujian terhadap ahli fikah dan orang-orang Islam serta menjauhkan diri dari Muktazilah. Dan aliran pemikiran Muktazilah telah kehilangan kendali akibat hilang kepercayaan umum terhadap mereka.
Keraguan-keraguan (penyelewengan) yang telah ditulis oleh golongan Muktazilah dalam jangka waktu yang begitu panjang telah terbongkar. Allah Taala telah melimpahkan kepada dua orang imam agung untuk mempertahankan Islam, mereka ialah Abul Hasan al-Asy'ari di Irak dan Abu Mansur al-Maturidi di negeri di balik sungai.
Kedua imam ini telah memimpin gerakan pemikiran dengan kepimpinan yang seimbang dan bijaksana, tanpa sikap melampau dan ekstrem terhadap akal sebagaimana Muktazilah, dan tidak terlalu bersikap beku terhadap nas (al-Quran dan Hadis) sebagaimana ahli fikah dan ahli hadis.
Jalan yang dilalui oleh Ahlus Sunnah di dalam memahami akidah ialah sebagaimana yang telah dilalui oleh salafus soleh. Mereka menjadikan al-Quran sebagai sumber untuk mengetahui masalah akidah. Mereka memahami akidah mereka dari ayat-ayat al-Quran, dan ayat-ayat yang mengandungi kesamaran (mutasyabihah) akan cuba difahami menggunakan pendekatan bahasa serta tidak diingkari oleh akal fikiran. Jika mereka tidak dapat memahaminya, mereka akan menghentikan dari membuat penafsiran (tawaqquf).
Secara umumnya, Ahlus Sunnah telah melalui jalan tengah yang menghimpunkan antara akal dan naqal (nas). Tidak terdapat perbezaan antara asas mazhab mereka dengan asas ajaran yang dibawa oleh salafus soleh, para ahli fikah dan ahli hadis.
Golongan Ahlus Sunnah ini muncul pada akhir kurun ketiga Hijrah dan awal kurun keempat Hijrah sebagai mendokong ahli fikah dan ahli hadis. Mereka telah mendokong nya secara khusus dan secara umum, dan bangkit menentang golongan Muktazilah, kemudian mengambil alih tempat mereka untuk mempertahankan Islam.
Pemimpin golongan al-Maturidiah ialah Abu Mansur al-Maturidi yang dilahirkan di kampung Maturid di Samarqand. Beliau begitu ikhlas mengembangkan ilmu-ilmu agama, sehingga lahirlah satu mazhab di dalam ilmu Kalam yang diikuti oleh penduduk Khurasan. Beliau meninggal dunia pada tahun 332 Hijrah.
Pemimpin Asya'irah pula ialah Abul Hasan al-As'ari yang dilahirkan di Basrah pada tahun 260 Hijrah. Pada asalnya beliau adalah penganut fahaman Muktazilah, kemudian mengasingkan diri dari orang ramai untuk mencari kebenaran. Sehingga pada suatu hari beliau muncul di hadapan masyarakat dengan hasil karangannya yang membantu Ahlus Sunnah serta menolak Muktazilah. Ajarannya ini telah diikuti oleh para ahli fikah dan ahli hadis. Beliau telah diangkat sebagai imam mereka. Beliau meninggal dunia di sekitar tahun 330 Hijrah.
Tidak terdapat perbezaan antara ajaran Asya'irah dan Maturidiah kecuali di dalam beberapa perkara kecil. Seperti masalah:
- Makrifat, apakah dengan akal atau dengan syarak.
- Pemahaman antara iman dan Islam.
- Makna qadha' dan qadar.
- Makna kasb (usaha).
- Wajib siksa secara syarak.
- Dan lain-lain lagi perselisihan yang biasa berlaku di kalangan ahli di dalam satu-satu mazhab, namun ia tidak membawa kepada jurang yang ketara.
No comments:
Post a Comment